TONA KULIT TAK SEKATA , KETAHUI PUNCA & CARA ATASI

23:34 Anna Rezqi 0 Comments

Tona kulit tak sekata sememangnya sangat menganggu penampilan kita. Kulit bukan sahaja nampak suram,bahkan akan membuatkan kita nampak seperti orang yang kepenatan, tidak bermaya, nampak lebih tua dan tidak sihat.


Ada banyak faktor penyebab tona kulit tak sekata,salah satunya adalah disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam tubuh. Jadi, tidak hairan tona kulit tak sekata lebih senang dilihat pada wanita mengandung ataupun menopause kerana mereka ini sedang mengalami perubahan pada beberapa jumlah hormon. Perubahan warna kulit sering terjadi pada wanita yang menopause kerana hormone esterogennya menurun sehingga menyebabkan keanjalan kulit berkurangan dan warna kulit jadi tidak sekata.

Selain hormon, warna kulit yang tidak sekata juga disebabkan oleh sinaran cahaya matahari. Pancaran sinaran matahari secara langsung boleh membuatkan kulit menjadi lebih gelap. Apatah lagi, jika kita terdedah terlalu lama, sehingga menyebabkan pigmentasi dan membuat kulit menjadi lebih kusam, berminyak dan kering. Gabungan perubahan hormon dan sinaran cahaya matahari juga mengundang kemunculan melasma atau bintik-bintik hitam di kulit. Pemakaian produk-produk kecantikan yang tidak tepat juga boleh membuatkan tona kulit tak sekata. Perubahan tersebut terjadi kerana tindakbalas sensitif kulit pada zat-zat yang terdapat dalam produk kecantikan tersebut.

Ada banyak cara untuk meratakan warna tona kulit tak sekata. Misalnya, menjaga hidrasi kulit dengan memperbanyakkan minum air masak dan melakukan rawatan muka secara rutin.
Selain itu, cuci muka dengan pencuci muka yang sesuai dengan kulit. Kemudian sapukan pelembab pada setiap hari supaya kulit sentiasa cerah dan tona kulit kembali sekata.
Jika perlu, lakukan skrub muka dan ditambah dengan pemakaian masker yang sesuai dengan jenis kulit. Di samping itu jangan lupa bersenam dan mengambil vitamin C dan E yang mampu membantu memulihkan warna kulit.
Selain itu, setiap kali keluar rumah, pastikan kita memakai krim pelindung cahaya matahari (sunblock ) yang sebaiknya mengandungi SPF 30.


5 Petua Tradisonal Seratakan Tona Kulit

Usah bermuram, jom cuba petua tradisi.

1. Ubi Sengkuang Mencerahkan
Kupas ubi sengkuang, sagat isinya. Jadikan ia sebagai masker, sapukan pada seluruh wajah dan leher. Biarkan sehingga masker ini kering, khasiat yang terkandung di dalam ubi sengkuang membantu menyejukkan kulit di samping menyegar dan menjadikan kulit cerah sekata. Ubi sengkuang juga boleh dimakan sebagai snek ringan bersama kuah rojak. Ia dikatakan mampu menyejukkan badan.

2. Putih Telur Melembutkan Kulit
Ubi telur mempunyai khasiat yang tinggi kepada kesihatan dan membantu merawat pelbagai jenis kulit. Caranya sangat mudah, sapukan putih telur pada seluruh wajah dan leher. Biarkan ia kering, kemudian bilas dengan air suam. Putih telur membuatkan kulit menjadi lebih lembut dan sekata. Bagi anda yang mengalami masalah noda hitam pada wajah terutama di bahagian hidung, rendam kapas muka di dalam mangkuk yang mengandungi putih telur. Kemudian tempek kapas ini pada bahagian bermasalah. Biar sehingga kering, selepas itu tarik kapas secara perlahan-lahan. Cara ini dapat membersihkan wajah secara mendalam, anda akan dapat melihat kotoran yang melekat pada kapas.

3. Masker Teh Hijau
Untuk mengekalkan awet muda, ramai wanita di Jepun, Korea dan China mengamalkan teh hijau sebagai minuman harian. Teh tinggi antioksidan, ia dapat merawat kulit dari dalam dan menjadikan kulit lebih cerah dan berseri. Secara perlahan-lahan kulit yang berbalam menjadi sekata.

4. Air Kelapa
Air kelapa antara ramuan yang sangat efektif membantu wanita memiliki kulit wajah yang sihat dan menawan. Basuh wajah dengan air kepala setiap pagi, biarkan ia kering sendiri pada wajah. Kemudian, baru dibilas dengan air bersih. Air kelapa dikatakan dapat mencerahkan kulit, mengatasi wajah kusam, melicinkan kulit dan mengecutkan jerawat.

5. Madu Segarkan Wajah
Wajah yang lesu, kusam dan kulit berbelak menghakis kecantikan wanita. Bagi anda yang yakin dengan keajaiban bahan alami. Apa kata anda mencuba petua ini. Sapukan wajah dengan madu secara nipis. Biarkan ia kering, kemudian bilas wajah dengan air perahan limau nipis atau lemon. Madu dapat membantu melembapkan kulit, menjadikan wajah lebih cerah dan berseri. Madu juga digunakan untuk membantu wanita memiliki bibir yang merah. Caranya, sapu bibir dengan madu sebelum tidur setiap hari. Sebaik sahaja bangun pagi, bilas dengan air bersih. Bibir akan beransur merah dan semakin menawan

credit Majalah Keluarga & 123mamanet.com